SENTIASA terlihat kuat dan bersemangat bukan bermakna kesedihan tidak pernah hadir mencorakkan warna di kanvas hidup penceramah dan selebriti popular Indonesia, Oki Setiana Dewi.
Dia juga sama seperti wanita lain, yang hidupnya ada fasa emosi, sedih dan gembira. Namun dia sentiasa berjaya menyembunyikan rasa gundah itu di sebalik perkongsian ilmu dan kisah hidupnya.
Tatkala diminta berkongsi episod sukar dalam hidupnya, Oki mengambil hela sebentar. Mungkin untuk mengingat satu persatu keajaiban yang berlaku di sebalik air mata yang tertumpah di pipinya.
“Sebenarnya ada banyak kesedihan yang orang tidak perlu tahu. Tetapi saya tahu, sebagai figura awam, pasti ada sahaja kesedihan saya yang dikongsi dan diberitahu kepada umum.
“Salah satunya, pemergian ayahanda tercinta, Sulyanto Sastro Martoyo yang meninggal secara tiba-tiba dalam tidurnya. Sampai sekarang, adakala saya rasa macam mimpi. Dia tidak sakit dan perlu penjagaan.
“Tetapi secara tiba-tiba dia meninggalkan dunia ini. Kepergian ibu atau ayah kita itu membuatkan kita terduduk. Seperti sebelah sayap kita patah,” ujarnya.
Kongsi penceramah berusia 36 tahun ini lagi, antara episod sedih yang memberi keajaiban dalam hidupnya adalah bagaimana ibunya, Yunifah Lismawati masih sihat biarpun pernah berhenti bernafas selama tujuh minit.
“Saya diuji dengan ibu yang ada masalah jantung. Di depan mata saya sendiri, dia diserang sakit jantung. Ketika itu dia berada di Mekah dan doktor sudah meminta ahli keluarga untuk berkumpul.
“Doktor kata, peluang hidup sangat tipis kerana ketika itu ibu saya sudah koma. Tetapi keajaiban Tuhan itu tidak dapat kita sangkal. Doa adalah kekuatan kita sebagai orang Islam. Alhamdulillah, ibu saya sehingga kini sihat,” ujarnya.
Namun bagi Oki, sebagai penceramah, dia selalu berkongsi kisah hidup supaya dapat memberi cahaya untuk diri sendiri dan peminat untuk melihat setiap ujian itu pasti ada keajaiban dari Tuhan.
“Ada kisah yang saya kongsikan untuk memberi semangat kepada mereka yang mendengar. Jangan pernah hilang semangat dan teruskan berdoa. Bila kita hilang semangat, maka kita akan sukar untuk berdoa.
“Ada ramai yang tidak percaya kekuatan doa. Mereka berputus asa dan merasakan Tuhan seolah tidak mendengar mereka. Tetapi jangan kita mendustai kehebatan Yang Maha Esa.
“Tuhan tidak pernah tidur dan pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya,” katanya.
CAHAYA HATI
Tampil dalam program Cahaya Hati 1.0 anjuran One World Muslimah (OWM) sebagai penceramah, Oki berkata, dia melihat ramai wanita yang menangis tatkala dia dan penceramah lain berkongsi kisah hidup.
Dalam program dengan kerjasama Minaz itu, Oki turut berkongsi pentas dengan Ketua Pegawai Eksekutif jenama tersebut, Hafiza Abdul Hamid dan aktivis antarabangsa, Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
“Berceramah itu banyak caranya. Ada yang hadir untuk memahami ayat al-Quran dan ada yang mahu bermuhasabah diri. Ketika ada yang menangis, mungkin ada sesuatu yang terjadi dalam hidupnya yang dekat dengan kisah yang saya sampaikan.

“Setiap orang pasti ada cerita hidup yang kita tidak tahu. Kita mungkin dituntut untuk terlihat kuat tetapi sebagai manusia, kita perlu menangis. Tetapi menangis di mana dan untuk apa, itu paling penting,” katanya.
Cahaya Hati 1.0: Bangkitlah Jiwa, Temui Cahaya Bahagia bertujuan membantu golongan wanita yang berdepan tekanan hidup, depresi dan kekosongan jiwa agar kembali menemui ketenangan melalui pengisian rohani dan pendekatan keimanan.
Susulan sambutan menggalakkan dengan lebih 1,000 peserta, OWM merancang untuk meneruskan kesinambungan program itu melalui ‘Cahaya Hati 2.0’ pada Disember ini dan seterusnya membawa ‘Cahaya Hati 3.0’ ke Brunei sebagai langkah memperluas manfaat kepada komuniti Muslimah di peringkat antarabangsa.-UTUSAN
 
								
 
								 
								 
											









