KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 13 November ini untuk keputusan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bagi menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menghalang isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu menguruskan aset luar negara.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan Siti Amirah Muhammad Ali serta peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.
Hakim Muhammad Jamil berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti dan mempertimbangkan semua isu yang dibangkitkan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.
Sebelum ini, SPRM memfailkan permohonan ex-parte bagi menghalang Na’imah atau mana-mana pihak berkaitan daripada menguruskan aset luar pesisir yang didakwa diperoleh di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Aset berkenaan dikatakan melibatkan empat syarikat di Jersey dengan nilai dianggarkan AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan 85 juta pound sterling (kira-kira RM468 juta).
Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Gurdial berhujah, permohonan dibuat berdasarkan siasatan terhadap anak guamnya dan mempunyai kaitan dengan aset milik Na’imah, justeru mempunyai hak untuk mencelah dalam prosiding itu.
“Perintah larangan ini memberi kesan langsung kepada individu yang memiliki harta tersebut. Anak guam saya wajar diberi peluang untuk mencelah bagi menjawab secara adil di mahkamah.
“Jika permohonan dibuat secara ex-parte, pihak kami tidak berpeluang melihat dokumen penuh dan memberikan maklum balas yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Mahadi berhujah, jumlah aset yang disiasat bukan kecil, melebihi RM1 bilion dan tindakan menghalang sebarang urus niaga adalah penting bagi mengelakkan pelupusan aset sebelum siasatan selesai dijalankan.
Beliau berkata, afidavit sokongan yang difailkan oleh pihak pencelah (Na’imah) tidak menjelaskan kaitannya dengan aset-aset berkenaan dan peranannya dalam syarikat-syarikat terbabit juga tidak dinyatakan secara terperinci.
“Seseorang yang ingin menjadi pencelah perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau mempunyai kepentingan undang-undang terhadap aset tersebut dan menunjukkan haknya akan terjejas oleh perintah mahkamah ini.
“Kami hanya mahu mengekalkan status quo sepanjang tempoh siasatan dan sekiranya tiada kesalahan dikesan, permohonan ini akan dibatalkan,” katanya.
Mahadi berkata, tiada asas kukuh untuk Na’imah mencelah dalam permohonan berkenaan.
Permohonan tersebut merupakan yang ketiga difailkan SPRM terhadap keluarga Daim selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom (UK) dan Singapura.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, lapan kertas siasatan telah dibuka hasil maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi yang dipercayai tidak diisytiharkan semasa siasatan pada 2023.-UTUSAN









