KUALA LUMPUR: China menyokong usaha memuktamadkan Kod Tatakelakuan (COC) Laut China Selatan yang bertujuan memastikan keamanan, kestabilan dan kepercayaan di kawasan pertindihan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu disampaikan Menteri Pertahanan China, Laksamana Dong Jun semasa sesi makan tengah hari Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 dan ADMM Plus Ke-12, semalam.
Katanya, segala perkembangan bergantung kepada perbincangan pihak-pihak yang terlibat.
“Menteri Pertahanan China, beliau dengan jelas menyatakan bahawa China menyokong pembentukan COC di Laut China Selatan. Kami amat menantikan perkembangan tersebut.
“Segala kemajuan bergantung kepada perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat, namun China telah menegaskan pendiriannya untuk mendukung keperluan mewujudkan COC tersebut,” katanya dalam sidang akhbar ADMM Ke-19 dan ADMM Plus Ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Rundingan mengenai COC di Laut China Selatan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri China, Li Qiang bersetuju untuk mempercepatkan rundingan mengenai COC itu bersama negara-negara anggota ASEAN.-UTUSAN









