PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa kecewa apabila rakaman video temu bualnya dimanipulasi pihak tertentu sehingga mencetuskan salah faham dan fitnah ke atas dirinya.
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyentuh mengenai aktivis kemanusiaan termasuklah yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza seperti yang didakwa seorang pempengaruh baru-baru ini.
“Di sini saya minta anda untuk tengok dan dengar video temu bual yang sepenuhnya. Saya tak sebut pun pasal Sumud Flotilla.
“Soalan yang diberi kepada saya adalah: ‘Apa pendapat Dato tentang artis yang tak post atau tak bersuara tentang genosid di Gaza?’,” katanya menerusi satu video di Instagram.
Malah menurut Aaron, temu bual tersebut dirakam dua minggu lalu dan beliau menjawab berdasarkan soalan yang dikemukakan ketika sesi rakaman itu berlangsung.
“Temu bual itu pun dua minggu lalu. Ya, saya sentiasa bersuara untuk Gaza dan semua isu kemanusiaan,” tambah beliau.
Dalam kenyataan sama, Aaron turut menyuarakan rasa terkilan kepada tindakan segelintir pihak yang tergamak memutar belit kenyataannya sehingga seolah-olah beliau tidak menyokong perjuangan membela rakyat Palestin yang sedang dizalimi.
“Saya orang Islam. Takkanlah saya tak sokong Gaza? Ini soal kemanusiaan!” tulisnya menerusi kapsyen.
Dalam pada itu, Aaron menegaskan bahawa sebagai seorang Muslim, beliau amat memahami penderitaan yang sedang dihadapi saudara seagama di bumi Palestin dan sentiasa menyokong sebarang usaha bantuan kemanusiaan kepada mereka.
Beliau turut memberi peringatan kepada pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas supaya berhati-hati kerana setiap fitnah akan dipertanggungjawabkan kelak.
“Jadi, yang fitnah saya, anda jawablah di akhirat nanti,” katanya.
Terdahulu, tular satu video suntingan yang menunjukkan seolah-olah Aaron mempertikai tindakan aktivis kemanusiaan GSF dalam misi bantuan ke Gaza.
Aaron menggesa orang ramai agar menonton rakaman penuh temu bual tersebut bagi mendapatkan konteks sebenar dan tidak terus membuat penilaian berdasarkan potongan video yang telah diubahsuai. -UTUSAN