ALOR SETAR: Kegiatan pemerolehan buangan terjadual elektrik dan elektronik (e-waste) secara tidak sah tumpas menerusi penangkapan tiga lelaki tempatan dalam serbuan di Bukit Selambau, Sungai Petani, semalam.
Dalam serbuan itu, Cawangan Risik Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dan dibantu agensi lain berjaya menahan tiga treler yang membawa muatan berkenaan.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, ketiga-tiga treler terbabit dipercayai dalam perjalanan ke sebuah gudang.
“Hasil pemeriksaan terhadap tiga treler tersebut menemukan 60 beg jumbo sisa e-waste seberat kira-kira 60,000 kilogram (kg); 20 beg jumbo sisa skrap metal kira-kira 20,000kg; 19 beg jumbo sisa plastik yang dianggarkan 19,000kg dan dua mesin penghancur logam yang berat keseluruhannya 99,000kg.
“Tiga lelaki berusia 36 hingga 52 tahun turut ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dinamakan Op Hazard bermula bermula sekitar pukul 1 pagi sebelum berakhir pada pukul 6.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrum berkata, keseluruhan jumlah rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM5.34 juta termasuk tiga treler terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 (1A) Akta Kualiti Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM25,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Tangkapan dan barangan rampasan diserahkan kepada JAS Cawangan Sungai Petani untuk siasatan lanjut,” katanya. -UTUSAN










