36 penduduk Putra Heights fail saman terhadap kerajaan

36 penduduk Putra Heights fail saman terhadap kerajaan

Rumah Putra Heights
KEADAAN rumah dan kenderaan yang musnah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights dalam kejadian letupan pip gas pada 1 April lalu. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 36 penduduk Putra Heights memfailkan saman terhadap beberapa pihak termasuk kerajaan Malaysia berhubung tragedi letupan paip gas pada 1 April lalu.

Jawatankuasa Penduduk Topaz dan Citrine Putra Heights berkata, pihaknya percaya tragedi ini berpunca daripada kecuaian manusia dan sepatutnya boleh dielakkan.

“Talian paip penghantaran gas diletakkan terlalu hampir di bawah rumah kami, namun langkah keselamatan tidak mencukupi. Kerja-kerja pembinaan di atas saluran paip tetap dibenarkan, walaupun penduduk telah menyuarakan kebimbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saman sivil itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam diwakili bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam utama.

Katanya, saman itu difailkan kepada lima pihak iaitu kerajaan Malaysia, Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Ini bukanlah sekadar satu tindakan undang-undang. Ini adalah satu rayuan untuk keadilan, untuk pengiktirafan terhadap penderitaan kami dan untuk perubahan sistemik dalam cara keselamatan dijaga dan nyawa manusia dihargai.

“Kami terus berharap agar mereka yang bertanggungjawab tampil ke hadapan, agar pihak berkuasa bertindak dengan telus, dan agar undang-undang memberikan keadilan yang sewajarnya kepada kami,” kata kenyataan itu.

Katanya, sehingga sekarang, masih ramai penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah sendiri sehingga terpaksa menumpang atau tinggal di rumah sementara, selain ada yang masih menerima rawatan akibat kecederaan.

Dalam pada itu, penduduk turut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa hak mereka diketepikan dan tidak diberikan maklumat jelas berhubung tragedi letupan yang memusnahkan banyak kediaman serta mencederakan ratusan orang itu.

“Malah selepas letupan berlaku, kami terus dibiarkan tanpa sebarang maklumat. Siasatan dijalankan secara tidak telus, dan kerja-kerja pembaikan dilakukan tanpa penjelasan penuh kepada mereka yang kehidupannya telah musnah.

“Ada yang masih menjalani rawatan dan pemulihan sehingga kini. Kanak-kanak masih mengalami trauma, terjaga pada waktu malam kerana ketakutan. Kami semua masih mencari jawapan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Pada 1 April lalu, negara dikejutkan dengan berita letupan paip gas pada hari kedua sambutan Aidilfitri yang meledakkan nyalaan api setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Letupan itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×