MARAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berdepan ancaman serius apabila 32 kes kecurian kabel dan transformer direkodkan setakat ini, dengan kerugian melebihi RM3 juta yang dibimbangi menjejaskan jadual penyempurnaan projek serta ujian tren menjelang Disember 2026.
Pengarah Keselamatan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL) Seksyen 13, Shi Liang Hui berkata, kecurian itu membabitkan beberapa lokasi kritikal di sepanjang jajaran dalam tiga negeri dengan Pahang mencatat jumlah kes tertinggi.
“Pahang merekodkan 24 kes, Terengganu tujuh dan Kelantan satu kes. Kebanyakan lokasi masih dalam fasa pemasangan sistem elektrik, komunikasi dan utiliti. Antara lokasi awal kecurian ialah di Paya Besar, Cherating dan KotaSAS di Pahang, selain Chukai, Dungun dan Kemasik di Terengganu serta Pasir Puteh, Kelantan.
“Barangan yang lesap termasuk kabel gentian optik dan kabel isyarat utama komunikasi. Di KotaSAS sahaja, lebih 1,200 meter kabel isyarat hilang manakala kabel gentian optik turut dipotong. Selain itu, kira-kira 1,080 meter kabel dicuri antara Temerloh dan Lanchang serta 599 meter lagi di jajaran Lanchang ke Bentong dipercayai menggunakan modus operandi terancang,” katanya kepada pemberita di lokasi Seksyen 13 Kampung Paya Pasir Maran, di sini.
Menurut Liang Hui, kecurian bukan sahaja melibatkan kabel, malah komponen penting seperti transformer dan peralatan sokongan menjadi sasaran sehingga menjejaskan penyelarasan teknikal.
“Walaupun struktur fizikal projek hampir siap, kehilangan aset teknikal seperti ini boleh melambatkan pemasangan sistem operasi tren dan menolak semula jadual kerja,” katanya. – UTUSAN









