2,171 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke 22 PPS

2,171 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke 22 PPS

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seramai 2,171 orang mangsa banjir daripada 759 keluarga telah dipindahkan ke 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini berikutan banjir selepas hujan lebat berterusan sejak semalam.

Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak yang dikeluarkan pagi tadi memaklumkan, dua daerah yang terjejas ialah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.

Daerah LMS mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,784 mangsa daripada 638 keluarga yang kini berlindung di 19 PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Masjid Alwusta Batu 8, Dewan Perdana Trong dan Masjid Changkat Jering.

Sementara itu, di Manjung, seramai 387 mangsa daripada 121 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Sungai Batu di Pantai Remis, SAR Padang Serai di Pengkalan Baru dan SK Beruas.

Antara kawasan yang terjejas di LMS termasuk Kampung Ulu Sepetang, Kampung Batu 8, Kampung Jelapang Jaya, Kampung Matang Gelugor, Taman Simpang Makmur serta beberapa taman perumahan di sekitar Trong dan Taiping.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Kerian di Selama kini berada pada paras bahaya 12.10 meter manakala Sungai Kurau di Batu 14 mencatat 22.20 meter, hampir mencapai paras amaran.

Berdasarkan laporan yang sama, paras air di Empangan Bukit Merah berada pada 8.19 meter (78.82 peratus simpanan), manakala Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta kekal penuh dengan kapasiti 100 peratus.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan termasuk Kerian, LMS dan Manjung, dengan keadaan cuaca dijangka kekal tidak menentu sepanjang hari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN