SEREMBAN: Sebanyak 16 kes positif influenza dilaporkan berlaku melibatkan pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Sungai Gadut, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, jumlah kes yang dilaporkan itu adalah setakat pukul 1.30 petang tadi.
“Mengikut notifikasi yang diterima oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sehingga pukul 1.30 petang, sebanyak 16 kes influenza telah dikesan di Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 39/2025 berbanding tiga kluster minggu sebelumnya.
Majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika.
Tengku Zamrah dalam pada itu berkata, situasi terkini jangkita di sekolah itu adalah terkawal dan kesemua pelajar yang dijangkiti diberikan cuti sakit dan berehat di rumah.
“Semua kes yang telah dikesan positif Influenza telah dirawat sebagai pesakit luar dan diberikan cuti sakit. Ketika ini mereka berehat di rumah masing-masing, situasi terkini adalah terkawal,” katanya. – UTUSAN










