KEMAMAN: Kira-kira 150 buah rumah di daerah ini mengalami kerosakan susulan kejadian ribut dan hujan lebat, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang menyebabkan banyak rumah penduduk di beberapa kampung di kawasan Chukai, Air Putih, Kijal dan Kemasik mengalami kerosakan terutama bahagian bumbung.
“Kejadian ribut ini bermula dengan hujan lebat hampir 20 minit disusuli angin kencang, kilat dan ribut kuat yang berlaku hanya beberapa minit menyebabkan banyak rumah penduduk terjejas.
“Kita telah memeriksa dan mengambil data rumah yang terlibat dan kerja-kerja pembaikian telah dilakukan segera oleh kontraktor dilantik. Kita jangka esok akan selesai semua kerja-kerja pembaikian ini kerana kita bimbang hujan kembali berlaku dan menyukarkan penduduk,” katanya ketika meninjau keadaan rumah penduduk di Chukai, hari ini.
Bagaimanapun, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata, anggaran sebenar kerugian ditanggung penduduk masih dalam penilaian.
“Selain rumah penduduk yang mengalami kerosakan, kejadian ini menyebabkan banyak pokok tumbang. Bagaimanapun pihak berkuasa dan pasukan penyelamat telah mengambil tindakan memotong pokok yang menghalang lalu lintas,” katanya. – UTUSAN










