PARIS: Pemimpin parti National Rally, Marine Le Pen mengumumkan beliau tetap akan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya Presiden Perancis 2027, biarpun sebuah mahkamah tempatan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas pertuduhan menyeleweng dana Kesatuan Eropah (EU).
Le Pen menegaskan hasratnya itu ketika muncul dalam program stesen televisyen Perancis, TF1 sejurus selepas Mahkamah Rayuan Paris menolak rayuannya.
“Malam ini, saya mengesahkan bahawa saya adalah calon untuk pilihan raya presiden. Saya akan membawa kes tersebut ke mahkamah tertinggi Perancis, Mahkamah Kasasi.
“Saya mahu menggunakan semua saluran rayuan yang ada bagi mempertahankan diri dan membuktikan saya tidak bersalah dalam kes ini,” katanya.
Kenyataan terbaharu Le Pen itu dijangka meredakan ketidaktentuan politik mengenai masa depan beliau.
Mahkamah Rayuan Paris pada Selasa memutuskan untuk mengekalkan sabitan bersalah tahun 2025 miliknya, namun dalam masa yang sama, keputusan itu masih membenarkan beliau bertanding pada tahun 2027.
Pada prosiding Selasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas calon presiden sebanyak tiga kali itu dengan setahun daripadanya perlu menjalani tahanan rumah menggunakan peranti pengawasan elektronik.
Beliau turut dikenakan denda sebanyak 100,000 euro (RM465,422) serta hilang kelayakan memegang jawatan awam selama 45 bulan, dengan 30 bulan daripadanya ditangguhkan.
Keputusan baharu ini menyaksikan tempoh pemakaian gelang pengawasan elektronik beliau dikurangkan kepada setahun, berbanding keputusan mahkamah terdahulu yang menetapkan tempoh dua tahun.
Sebelum ini, Le Pen memberi bayangan tidak mahu berkempen dengan memakai peranti tersebut kerana ia mengehadkan pergerakannya ke seluruh negara. Bagaimanapun, pada Selasa, beliau tampil dengan nada yang lebih tegas dan mencabar.
Hakim juga memutuskan untuk mengurangkan tempoh asal larangan bertanding selama lima tahun yang dikenakan ke atasnya pada tahun 2025. Melalui keputusan terbaharu itu, tempoh ketidaklayakan efektif yang perlu dihadapi beliau hanyalah selama 15 bulan.
Memandangkan hukuman daripada keputusan tahun 2025 telah dikuatkuasakan serta-merta sebelum ini, Le Pen dianggap sudah pun selesai menjalani tempoh hukuman larangan bertanding tersebut, sekali gus melayakkan beliau untuk kembali bertanding. -AGENSI










