SUNGAI GOLOK (THAILAND): Seramai 10 lelaki menggunakan senjata perang jenis M16 dan AK104 serta pistol melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta selepas merompak sebuah kedai emas di Pasar Raya Big-C, dekat sini semalam.
Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli-belah di pasar raya berkenaan.
Menurut jurucakap polis, semasa kejadian, kumpulan perompak itu masuk ke kawasan parkir kawasan pasar raya tersebut menggunakan trak pikap.
“Lapan daripada lelaki terbabit yang semuanya berpakaian hitam dan bertopeng memasuki pasar raya berkenaan melalui Pintu Dua dan terus menuju ke kedai emas berkenaan.
“Kumpulan perompak itu kemudian menahan pengawal keselamatan dan mengugut pekerja kedai emas. Beberapa orang daripada kumpulan itu bertindak memecahkan cermin dan kotak pameran, sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM3.11 juta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, kumpulan terbabit turut menabur paku serta meletakkan tong gas seberat 15 kilogram yang dipercayai dipasang bom di laluan mereka melarikan diri.
Katanya, salah seorang daripada penjenayah terbabit yang bersenjatakan M16 bertindak menembak anggota tentera yang sedang membeli bekalan untuk pasukannya berhampiran kedai emas berkenaan.
“Tembakan itu telah mengenai anggota tentera yang dikenali sebagai Sarjan Mejar Burinsawon Radachai, 27 sehingga cedera di paha, bahu dan pipi. Anggota keselamatan itu dibawa ke Hospital Sungai Golok dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Pihak berkuasa Thailand telah menutup beberapa laluan utama di Sungai Golok bagi memburu penjenayah terbabit. Tiada orang awam yang cedera, kecuali seorang pengawal keselamatan yang trauma selepas dijadikan tebusan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa turut menerima aduan daripada seorang ketua kampung berhubung kehilangan dua pikap yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu. – UTUSAN