Yayasan Waqaf sedia bangun semula Istana Raja Muda

Yayasan Waqaf sedia bangun semula bangunan lama Istana Raja Muda

KEADAAN bangunan lama Istana Raja Muda di Teluk Intan ketika tinjauan baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sedia membangunkan semula bangunan lama Istana Raja Muda di sini menerusi instrumen wakaf sekiranya menepati kriteria ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar berkata, pihaknya kini dalam peringkat awal mengenal pasti serta menjalankan kajian bagi pewujudan produk wakaf baharu berteraskan warisan negara.

“Teluk Intan sebagai perintis wakaf warisan. Ia bukan sekadar rumah ibadah tetapi rumah warisan, muzium-muzium atau istana-istana lama ataupun contoh-contoh perkakasan perang orang Melayu dahulu.

“Dengan lain perkataan, wakaf warisan ini bukan sekadar struktur bangunan itu sahaja tetapi warisan bangsa. 

“Pada masa hadapan, mungkin kita akan explore (meneroka) luasan makanan, produk kampung ataupun pakaian tradisi Melayu yang perlu kita pertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, wakaf warisan yang bakal dilancarkan itu sebagai usaha menghubungkan elemen warisan dan kebajikan supaya dapat dipromosikan kepada masyarakat setempat secara inklusif serta berimpak tinggi.

Beliau berkata, masjid-masjid tua atau masjid lama sekitar Teluk Intan perlu dikekalkan sebagai satu bentuk warisan bagi tatapan generasi masa depan.

Akhbar ini pernah melaporkan, kerajaan tidak bercadang membaik pulih bangunan lama Istana Raja Muda di Teluk Intan kerana strukturnya terlalu uzur dan tidak lagi selamat.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shahruddin Abu Sohot, kebanyakan struktur asal Istana itu sudah tiada dan hanya kawasan tanah yang tinggal.

Istana itu pernah dibuka untuk bidaan terbuka kerana nilai komersialnya yang tinggi namun urusan jual beli terbatal menyebabkan bangunan itu terus terbiar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN