ALOR GAJAH: Polis Melaka berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka akan diadakan pada September ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, latihan Ex-Undi PRN Melaka Ke-16 Tahun 2026 itu melibatkan 395 anggota dan 30 aset operasi berjaya melaksanakan latihan simulasi ketenteraman awam.
Menurutnya, menerusi simulasi selama dua hari itu membuktikan seluruh jentera keselamatan negeri berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang proses pilihan raya nanti.
Beliau berkata, latihan tersebut dapat menguji tahap kompetensi anggota, keberkesanan rantaian arahan, kesiapsiagaan logistik serta koordinasi antara pelbagai agensi melalui pendekatan Whole-of-Government.
“Latihan ini bukan sekadar latihan operasi, sebaliknya merupakan pelaburan strategik bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan agensi keselamatan dalam memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman, selamat dan teratur.
“Kejayaan pelaksanaan latihan ini membuktikan seluruh jentera keselamatan di Melaka sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran semasa PRN Ke-16,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Ex-Undi PRN Ke-16 Negeri Melaka Tahun 2026 (Simulasi Ketenteraman Awam) di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Abdul Karim, Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.
Dzulkhairi berkata, selain PDRM latihan simulasi berskala besar itu turut melibatkan PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, sebanyak 30 aset operasi digerakkan melibatkan kenderaan rondaan polis, lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ambulans, jentera bomba, motosikal pengiring dan pelbagai aset komunikasi bagi menguji keupayaan logistik serta keberkesanan tindak balas di lapangan.
Menurut beliau, simulasi berkenaan merangkumi pelbagai senario termasuk pengiringan peti undi, kawalan rusuhan, provokasi, insiden kebakaran, pengurusan mangsa dan tindakan penyuraian mengikut prosedur operasi yang ditetapkan.
“Pendekatan ini membolehkan setiap agensi bertindak sebagai satu pasukan yang bersepadu, sekali gus memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan secara pantas, cekap dan berkesan sekiranya berlaku sebarang insiden sepanjang proses pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










