PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama semikonduktor global apabila syarikat terkemuka dunia, X-FAB, mengumumkan pelaburan bernilai RM3 bilion bagi memperluaskan fasiliti pembuatan cip di Sarawak.
Langkah strategik itu meningkatkan kapasiti pengeluaran wafer X-FAB Sarawak daripada 30,000 kepada 40,000 unit sebulan, sekali gus memberi lonjakan besar kepada rantaian bekalan semikonduktor dunia.
Fasiliti baharu ini menumpukan kepada penghasilan cip berteknologi tinggi untuk sektor automotif, perubatan dan perindustrian.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap hala tuju pembaharuan industri Malaysia.
“MITI dan MIDA komited menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta membangunkan kepakaran teknikal rakyat tempatan. Ini adalah selaras dengan strategi negara untuk muncul sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan X-FAB akan memberi kesan limpahan besar kepada ekonomi tempatan.
“Selain peluang pekerjaan, ia turut melahirkan bakat mahir baharu serta memperkasa perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan. Inilah inti pati strategi negara dalam memastikan setiap pelaburan menjadi pemacu pertumbuhan inklusif dan kemakmuran bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB, Rudi De Winter berkata, fasiliti terbaharu itu akan memberi tumpuan kepada teknologi semikonduktor penting termasuk untuk kenderaan elektrik, peralatan ultrasound dan infrastruktur pengecasan masa hadapan.
“Dengan sokongan MIDA dan kerajaan Sarawak, kami yakin pencapaian ini akan menjadi tonggak kejayaan jangka panjang Kumpulan X-FAB,” katanya.
Fasiliti itu kini sudah beroperasi dan bakal berkhidmat kepada pelanggan global merangkumi sektor automotif, perindustrian serta perubatan.-UTUSAN