KUALA LUMPUR: Pelakon, Anna Jobling, 25, mengambil langkah waspada dengan menangguhkan lawatan kerjanya ke Indonesia atas faktor keselamatan.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman turut memaklumkan majlis tayangan perdana filem lakonannya berjudul Sukma di Indonesia yang dijadualkan berlangsung hari ini, terpaksa ditunda.
“Sebenarnya esok (hari ini) saya sepatutnya terbang ke Indonesia untuk majlis tayangan perdana filem Sukma, tapi ditunda sebab laporan berita sekarang ini kurang selamat untuk ke sana.
“Malah untuk kita buat majlis tayangan dalam keadaan sebegitu, saya rasa sangat tak sesuai.
“Jadi kami putuskan untuk tunda,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Setia Itu Mahal episod ke-27 di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anna yang cukup dikenali di Indonesia menerusi beberapa projek drama dan filem berkata, beliau sedih dengan situasi yang berlaku, lebih-lebih lagi Jakarta dianggap sebagai rumah keduanya.
“Semoga Indonesia cepat sembuh. Doa saya sentiasa bersama rakyat Indonesia. Jakarta adalah rumah kedua saya, jadi bila tengok keadaan sebegitu, saya sangat sedih.
“Saya ke sana hampir setiap bulan. Kali terakhir saya ke sana, sebelum situasi ini berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anna turut menzahirkan rasa bangga dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menghulurkan bantuan serta meluahkan simpati terhadap nasib rakyat Indonesia.
“Saya sangat berbangga dan terharu bila melihat ramai yang menolong serta berkongsi rasa kasih sayang dengan rakyat di sana.
“Iyalah, kadang-kadang kita ada bergaduh manja dengan rakyat Indonesia menerusi beberapa perkara, tapi dalam keadaan genting ini, rakyat Malaysia tetap menghulurkan bantuan. Malah rakyat Thailand dan Singapura juga turut sama.
“Bila perkara sebegini terjadi, kita nampak semangat menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Anna melahirkan rasa syukur apabila drama lakonannya, Setia Itu Mahal mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.
Membawa watak Dalina Rizwani dalam drama 28 episod arahan Jamal Khan, Anna mengakui tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya hanya memberikan komitmen penuh terhadap pengarah serta rakan pelakon.
“Saya sangat berpuas hati sebab ketika menjayakan drama ini saya tak pernah letak harapan.
“Saya cuma beri yang terbaik dan letakkan kepercayaan pada pengarah serta pelakon gandingan saya.
“Alhamdulillah, ramai penonton menyokong Setia Itu Mahal. Terima kasih atas sokongan semua,” katanya.
Turut hadir pada majlis tayangan itu ialah barisan pelakon antaranya Zahiril Adzim, Sharifah Husna, Rita Nadira, Arfie Shah, Natasha Roslan dan Riezman Khuzaimi.