KUALA NERUS: Jambatan Kampung Pandu, Batu Rakit di sini yang terputus sejak seminggu lalu menyebabkan kira-kira 100 penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan dan Kemajuan Kampung Wakaf Chagak, Che Rahim Che Harun berkata, jambatan tersebut terjejas selepas projek tebatan banjir dilaksanakan di kawasan berhampiran tahun lalu.
Katanya, ketika musim tengkujuh tahun lalu, tekanan air menjadi kuat ekoran aliran tersekat di bawah jambatan.
“Selain itu ada lori yang sering melalui jambatan ini menyebabkan jalan semakin mendap dan retak. Jalan tersebut retak pada pertengahan bulan lalu dan kini ditutup sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Che Rahim berkata, penduduk di kawasan itu terpaksa menggunakan laluan lebih jauh buat sementara waktu.
Katanya, sebelum ini, jambatan tersebut menjadi laluan utama penduduk di situ selain pelajar Pusat Talaqi yang ulang-alik setiap hari.-UTUSAN.









