KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendedahkan isu dalaman Pas di Perlis yang membabitkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli telah dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Pas Pusat sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini masih belum menemui sebarang penyelesaian konkrit.
Menurut Hashim, sebagai Mursyidul Am Pas, beliau telah melaporkan perkara yang dianggap tidak wajar berlaku di Perlis itu kepada pimpinan pusat termasuk Presiden parti, namun maklum balas serta tindakan susulan yang diharapkan tidak berlaku.
Katanya, susulan pendedahan berkenaan, pimpinan Pas Pusat telah mengarahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad untuk mengadakan pertemuan dengan beliau.
“Pertemuan itu telah berlangsung lebih dua kali. Dalam pertemuan berkenaan, saya telah mendedahkan perkara yang saya lihat tidak betul dan perlu diperbetulkan. Namun sehingga lebih tiga tahun berlalu, masih tiada jawapan serta tindakan jelas.
“Oleh itu, tidak sepatutnya saya dituduh bercakap bagi pihak Majlis Syura Ulama tanpa berunding,” katanya kepada Utusan Malaysia, mengulas dakwaan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk atau berunding dengan Majlis Syura Ulama, khususnya berkaitan pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perlis sebelum ini.
Hashim turut memohon maaf sekiranya kenyataan dikeluarkan sebelum ini dianggap keras, namun menegaskan niat beliau adalah untuk kebaikan parti dan jemaah secara keseluruhan.
“Itu yang saya nak cakap pun, saya minta maaflah kalau saya terkasar. Saya berharap semua pihak dapat mengambil iktibar serta bersama-sama melihat dan memahami situasi sebenar di Perlis.
“Kepentingan jemaah mesti diletakkan mengatasi segala-galanya bagi memastikan kelangsungan perjuangan Pas terus utuh,” katanya yang menegaskan isu berkenaan tidak sepatutnya berlarutan sekiranya ditangani dengan baik sejak awal.
Dalam pada itu, Hashim turut menegur Takiyuddin agar lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan Majlis Syura Ulama, khususnya menyentuh peranan dan kedudukan Mursyidul Am Pas.
Katanya, segala teguran dan pandangan yang disuarakan oleh beliau adalah berlandaskan prinsip lillahi ta‘ala demi membetulkan keadaan serta memperkukuhkan jemaah dalam parti, bukannya bersifat pandangan peribadi.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan Setiausaha Agung Pas supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan bagi mengelakkan salah faham serta merujuk kembali keputusan yang telah dibuat di peringkat Majlis Syura Ulama,” katanya.
Menurut Hashim, tanggungjawab yang dipikulnya sebagai Mursyidul Am menuntut beliau bersuara apabila melihat perkara yang tidak betul berlaku dalam parti.
“Saya melakukan ini kerana Allah SWT. Saya bertanggungjawab untuk membaiki keadaan. Kita mahu perbetulkan mana yang tidak betul dan mudah-mudahan masyarakat memahami apa yang sepatutnya dilakukan dalam suasana sekarang,” katanya.
Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, setiap keputusan Majlis Syura Ulama dibuat secara bersama oleh kesemua 17 ahlinya, termasuk wakil pimpinan pusat dan bukannya ditentukan oleh seorang individu sahaja.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan Majlis Syura Ulama perlu dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat rasmi terlebih dahulu.
Dalam perkembangan sama, Hashim menyarankan pimpinan Pas Pusat agar berlapang dada menimbang semula rayuan tiga ADUN Pas Perlis yang digugurkan keahlian sebelum ini.
Katanya, Majlis Syura Ulama telah menerima rayuan berkenaan untuk didengar dan dinilai secara adil demi menjaga perpaduan serta keharmonian parti.
“Kita sudah merayu dan menyokong rayuan itu. Jika di mahkamah sekali pun ada proses rayuan, maka dalam kes ini juga timbanglah rayuan mereka.
“Hasrat kita adalah untuk melihat tindakan membaiki keadaan diambil demi kebaikan parti,” katanya. – UTUSAN










