Waris tuntut aset ‘Man Hidung’ lebih RM900,000 

Waris tuntut aset ‘Man Hidung’ lebih RM900,000 

ABDUL Rahman Mohamad Hussain (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mengedar dadah lebih satu kilogram. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Waris kepada pempengaruh dan usahawan kosmetik yang berdepan pertuduhan mengedar dadah, menuntut pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, barang kemas dan wang tunai dengan anggaran keseluruhan lebih RM900,000.

Tuntutan terhadap harta milik Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, atau lebih dikenali sebagai Man Hidung dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Harta berkenaan disita selepas tertuduh didakwa terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. Antara aset disenaraikan ialah sebuah Toyota Alphard bernilai RM450,000, Mini Cooper Countryman (RM120,000) dan Range Rover (RM350,000).

Turut disita ialah wang tunai berjumlah RM7,700 serta beberapa barangan kemas bernilai lebih RM54,000. Aset berkenaan dirampas hasil operasi polis di beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu pada 28 dan 29 April lalu yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu.

Hakim Nazlyza Mohd Nazri kemudian menetapkan 9 November ini untuk sebutan kes pelucuthakan harta tersebut.mPendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan menetapkan 19 Oktober ini sebagai tarikh sebutan izin dakwa terhadap Abdul Rahman berhubung pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membuat keputusan itu selepas laporan kimia diperoleh dan mengesahkan berat rampasan adalah sama seperti laporan awal. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×