TUMPAT: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas semasa keluar memancing di perairan Kelantan dekat sini.
Ahmad Hussien, 71, yang merupakan nelayan pantai dari Kampung Kelaboran bertolak dari jeti Tanjung Kuala di sini kelmarin seorang diri selepas waktu subuh dengan menaiki bot.
Isterinya, Che Bunga Yaakob, 55, berkata, dia mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku di laut apabila suaminya tidak pulang pada waktu tengah hari semalam.
“Suami saya patut tiba di jeti itu kira-kira pukul 1 tengah hari. Saya mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kerana sudah lebih 10 kali menghubunginya, namun panggilan tidak berjawab.
“Saya risau keselamatannya di laut kerana cuaca ketika ini tidak menentu apabila kerap berlaku ribut. Dia hanya membawa bekalaN lima biji pisang nangka rebus dengan sebotol air mineral” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Geting di sini hari ini.
Che Bunga memberitahu, sebelum keluar memancing, suaminya sempat berpesan supaya memberi makan lembu dengan rumput yang sudah dipotong.
Menurutnya, suaminya sebelum ini dilihat memotong rumput dalam kuantiti yang banyak seolah-olah mahu pergi dalam tempoh yang lama.
“Kebiasaannya, dia akan pulang pada hari yang sama apabila keluar memancing ikan. Dia juga meminta saya rebus pisang dan mahu membawa bekal pisang tersebut apabila keluar memancing,” ujarnya.
Sementara itu jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada pukul 7.30 pagi tadi dengan memberi tumpuan radius pencarian kira-kira 5 batu nautika dari daratan Pantai Geting, Tumpat dan Kuala Besar, Kota Bharu.










