Warga emas dituduh rogol, amang seksual budak perempuan 7 tahun

Warga emas dituduh rogol, amang seksual budak perempuan 7 tahun

WARGA emas berusia 64 tahun berdepan dua pertuduhan merogol dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, April lalu.

Tertuduh berusia 64 tahun mengaku faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustpha, namun memohon untuk dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di taman perumahan di daerah ini, April lalu. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa di tepi jalan di sini, pada bulan sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohd. Zahari memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kediamannya berhampiran rumah mangsa selain kesalahan terbabit adalah serius.

Ketika ditanya tentang pelantikan peguam, tertuduh memaklumkan akan berbincang dengan keluarga selain bersetuju mendapatkan khidmat guaman melalui Yayasan Bantuan Guaman.

Hakim kemudian memutuskan tiada jaminan ditawarkan buat masa ini, namun tertuduh boleh mengemukakan permohonan selepas melantik peguam. Mahkamah menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×