Wanita maut jatuh kondo dipercayai hamil, ditinggal kekasih - polis

Wanita maut jatuh kondo dipercayai hamil, ditinggal kekasih – polis

WANITA yang dijumpai maut selepas terjatuh dari tingkat 28 sebuah kondo di Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi dipercayai sedang mengandung lima bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Wanita yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Bayan Lepas kira-kira pukul 9.30 malam tadi dipercayai sedang berbadan dua.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati, wanita warga tempatan itu dipercayai hamil lima bulan dan telah ditinggalkan oleh kekasihnya.

“Buat masa ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Apapun, siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini,” katanya di sini, hari ini.

Media sebelum itu melaporkan, mangsa memakai kostum menyerupai satu karakter anime popular iaitu ‘Korumi Tokisaki’ ketika kejadian.

Dia dipercayai terjatuh dari tingkat 28 kondominium tersebut dan dijumpai oleh orang awam di kawasan parkir kenderaan berhampiran blok perumahan terbabit.

Menurut penduduk, mereka menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bawah bangunan sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan yang tidak bernyawa.

Dalam pada itu, Sazalee berkata, pemeriksaan forensik dari ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang di bilik mangsa mendapati, si mati berkemungkinan terjun melalui tingkap dari biliknya.

Beliau berkata, hal ini demikian kerana, terdapat kesan tapak kaki mangsa di atas meja yang diletakkan berhampiran tingkap berkenaan.

“Temu bual dengan ibu si mati juga mengesahkan bahawa wanita itu berada dalam tekanan kerana ditinggalkan teman lelaki dalam keadaan mengandung lima bulan.

“Ibunya bagaimanapun tidak tahu bahawa anak perempuannya itu telah terjun melalui tingkap dalam bilik dan meninggal dunia,” katanya yang memberitahu, mangsa berusia 34 tahun dan tidak bekerja buat masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN