Wanita ganggu Sultan Nazrin direman tiga hari - Utusan Malaysia

Wanita ganggu Sultan Nazrin direman tiga hari

WANITA yang ditahan kerana menceroboh naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 semalam dibawa ke IPD Ipoh untuk permohonan reman hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Wanita yang ditahan kerana menceroboh naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri semalam, direman selama tiga hari.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd. Abd. Wahab ke atas suspek berusia 41 tahun dalam prosiding yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Suspek yang berpakaian hitam itu tiba di pekarangan IPD Ipoh pada pukul 10.15 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah reman ke atas wanita itu bermula hari ini sehingga Rabu.

“Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab semalam dikejutkan dengan kejadian seorang wanita menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin.

Wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek.

Berdasarkan semakan, wanita warga tempatan itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain memiliki rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia negatif daripada mengambil bahan terlarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN