PETALING JAYA: “Melihat wajah saya terpampang di billboard Times Square, New York adalah saat yang tidak mungkin dapat saya lupakan seumur hidup.”
Demikian luahan penyanyi, Misha Omar apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital gergasi Spotify di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS).
Bagai tidak percaya dengan pencapaian tersebut, Misha menyifatkan kejayaan itu merupakan hak milik bersama peminatnya dalam usaha mengangkat suara wanita.
“Jauh di sudut hati, ini bukan hanya kejayaan saya sahaja, tetapi kejayaan kita bersama. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Spotify kerana mengangkat suara wanita melalui kempen #SpotifyEQUAL ini.
“Sebagai wanita, setiap suara membawa seribu kisah tentang kasih sayang, kekuatan dan kecekalan.
“Setiap kali kaki ini menginjak pentas, setiap bait lagu yang dinyanyikan, dan setiap halangan yang kita berjaya lalui sebenarnya tanpa sedar, kita sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya bersinar lebih terang,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Break itu menyifatkan kejayaan tersebut mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa muzik bukan sekadar kerjaya sebaliknya menjadi medium untuknyam eluahkan segala rasa kepada pendengar.
“Selama 23 tahun ini, muzik adalah cara saya menyampaikan cinta dan kekuatan kepada kalian.
“Momen bersejarah seperti ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa muzik bukan sekadar kerjaya, tetapi legasi jiwa yang akan terus bersemi menyentuh jiwa seluruh pendengar.
“Ucapan terima kasih buat label yang memayungi saya selama berkarya sebagai penyanyi iaitu seluruh keluarga Sony Music Malaysia.
“Tanpa kasih sayang, sokongan dan kepercayaan tidak mungkin kerjasama kita sampai ke usia 23 tahun bersama,” katanya.
Kempen Spotify EQUAL merupakan inisiatif global bagi mengiktiraf dan memperkasa suara artis wanita dalam industri muzik.
Selain Misha, beberapa nama besar tanah air pernah menghiasi papan iklan digital ikonik itu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Yuna, Dolla, Aina Abdul, Marsha Milan, Kaka Azraff, Layla Sania, Iman Troye, Aisha Retno dan Vanessa Reynauld.-UTUSAN