KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang milik sebuah syarikat berjumlah RM56,000.
Tertuduh, Nor Atiqah Mohamad Alwi, 36, yang ketika kejadian merupakan bekas pengarah A2 Wax Sdn. Bhd., dan suaminya, Muhamad Fakhrullah Abd Rahim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM49,000 milik syarikat tersebut antara 29 Ogos hingga 23 November 2021 di Jalan Gong Kapas, Kuala Terengganu.
Perbuatan itu dilakukan dengan mengeluarkan wang melalui tujuh keping cek tunai daripada akaun syarikat dan menggunakannya bagi membayar sewa premis di Bandar 16 Sierra, Puchong, Selangor sedangkan alamat premis tersebut merupakan rumah kediaman mereka.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa sekali lagi melakukan perbuatan sama membabitkan wang RM7,000 pada 31 Januari 2022 menggunakan satu cek tunai. Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. – UTUSAN










