3.4 juta penduduk Filipina terjejas akibat tiga taufan - Utusan Malaysia

3.4 juta penduduk Filipina terjejas akibat tiga taufan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Seramai 906,794 keluarga atau kira-kira 3.4 juta penduduk di Filipina terjejas akibat monsun barat daya serta tiga siklon tropika yang melanda negara itu baru-baru ini iaitu Mirasol, Nando (nama antarabangsa Ragasa) dan Opong.

Jumlah itu diumumkan oleh Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Isnin.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bencana tersebut memberi kesan kepada lebih 8,000 komuniti di 16 wilayah seluruh negara.

Setakat pukul 6 pagi Isnin, seramai 30,265 keluarga ditempatkan di 1,607 pusat pemindahan, manakala lebih 84,000 keluarga lagi menerima bantuan di luar pusat tersebut.

Sejumlah 27 kematian dilaporkan, namun hanya empat daripadanya disahkan setakat ini, semuanya dari Wilayah Pentadbiran Cordillera.

Baki 23 kematian dalam proses pengesahan dan melibatkan beberapa wilayah seperti Bicol, Lembah Cagayan, Luzon Tengah, Visayas Tengah, Visayas Timur dan Mimaropa.

Selain itu, 33 orang dilaporkan cedera, dengan 14 daripadanya disahkan, manakala 16 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, sebanyak 16,911 buah rumah mengalami kerosakan, termasuk 2,600 yang musnah sepenuhnya.

Kesan bencana juga dirasai dalam sektor ekonomi apabila kerugian dalam sektor pertanian dianggarkan berjumlah PHP1.01 bilion, manakala kerosakan kepada infrastruktur mencecah PHP979.6 juta.

Pihak berkuasa masih giat menjalankan kerja-kerja mencari, menyelamat dan pemulihan sambil menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan paling terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×