PUTRAJAYA: Kelancaran pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula hari ini disifatkan kerana perancangan rapi kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan pemantauan serta laporan yang diterima, keadaan di stesen-stesen minyak terutamanya pada waktu puncak awal pagi tadi didapati terkawal.
Katanya, kejayaan terbesar BUDI95 adalah menerusi pembelian petrol dengan pengesahan kad pengenalan yang dapat dibuat di pam stesen minyak.
“Kejayaan terbesar (BUDI95) pembelian yang memerlukan pengesahan MyKad bukan sahaja boleh buat di dalam kaunter melalui card reader (tetapi dilaksana di pam minyak secara terus).
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah bantu untuk melakukan naik taraf sistem di terminal di stesen minyak melalui kepakaran dan bahagian teknologi maklumat JPN seterusnya membantu kira-kira 4,000 syarikat minyak seluruhnya (untuk pelaksanaan BUDI95),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Inisiatif BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 mula menikmatinya pada 28 September lalu, diikuti warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula hari ini dengan , rakyat Malaysia menerima siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter pada harga RM1.99 seliter. – UTUSAN










