ALOR SETAR: Usul Pemuda Pas yang mendesak parti itu memimpin Perikatan Nasional (PN) serta menampilkan calon Perdana Menteri tidak akan membawa kepada perpecahan.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, cadangan itu sebaliknya mencerminkan proses meraikan pandangan yang akhirnya akan dimuktamadkan secara konsensus antara pimpinan PN.
“Saya rasa tidak salah kalau Pas mencadangkan dan saya rasa rakan-rakan Bersatu pun boleh menerima sebab Bersatu pun ada cadangan mereka.
“Semua berhak mencadangkan apa jua usul yang bersesuaian dan inilah yang menunjukkan demokrasi dalam PN agar rakyat ada pilihan untuk memilih,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pas Kedah, semalam.
Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, Jawatankuasa Usul telah meluluskan cadangan itu untuk dibahaskan dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-71 yang bermula hari ini.
Beliau pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang memberi sokongan terhadap usul dibawakan Pemuda Pas.
Jumaat lalu, Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-66 sebulat suara meluluskan usul mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri berasaskan kekuatan politik semasa yang nyata.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar ketika membentangkam usul itu berkata, cadangan tersebut bertujuan menegaskan bahawa Pas kini memiliki signifikasi politik nasional yang tidak boleh dinafikan dan layak tampil sebagai peneraju dalam PN.
Pemuda Pas turut menamakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Perdana Menteri daripada Pas, namun ditolak oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu. -UTUSAN










