ALOR SETAR: Pas mengajak semua pemimpin sama ada Melayu dan bukan Melayu untuk bersama-sama mengubah kompas politik negara ke arah penyatuan nasional berasaskan nilai sejagat seperti integriti, keadilan dan kematangan kepimpinan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya percaya bahawa masa depan Malaysia hanya boleh dibina melalui politik nilai serta gagasan bersama dan bukan lagi politik kepartian yang sempit sehingga memecah-belahkan.
Katanya, dalam landskap politik tempatan yang semakin sarat dengan emosi, pertentangan dan persaingan kuasa, rakyat sebenarnya mahukan perkara yang jauh lebih asas iaitu kepimpinan yang bersih, berintegriti, adil dan berwawasan.
“Rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang mendambakan perubahan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan mereka dan membawa negara kembali ke landasan potensi sebenar. Inilah politik yang ditawarkan oleh Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, Haim Hilman mengakui cabaran terbesar adalah masih wujud salah faham dan persepsi negatif sebahagian rakyat Malaysia khususnya berkaitan pendirian Pas terhadap bukan Islam.
Ujar beliau, Pas sering dilabel sebagai parti yang kononnya menyekat kebebasan agama dan budaya, memaksa hukum Islam ke atas bukan Islam, menghalang hiburan serta tidak mesra kaum lain.
“Hakikatnya, semua dakwaan ini tidak berasas dan realiti di negeri-negeri yang ditadbir Pas membuktikan sebaliknya. Keharmonian antara kaum terus terpelihara, kebebasan beragama dijamin dan kepelbagaian budaya dihormati.
“Tiada bukti menunjukkan paksaan agama ke atas bukan Islam dan tiada larangan mutlak terhadap hiburan atau kehidupan sosial selagi ia tidak bercanggah dengan nilai moral dan tatasusila sejagat,” katanya.
Tambahnya, Pas memahami bahawa perpaduan kaum adalah tunjang kestabilan negara dan atas kesedaran itu, mereka menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai wadah rasmi penglibatan bukan Islam bersama parti itu.
Malah kata Haim Hilman, Pas sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua parti politik, sama ada Melayu atau bukan Melayu demi membina negara yang lebih sejahtera dan stabil.
Katanya lagi, dari sudut dasar, Pas turut memberi tumpuan kepada isu-isu teras rakyat seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan ekonomi serta pembangunan teknologi tinggi yang disokong barisan profesional dan teknokrat berkemahiran dalam parti.
“Pas juga dikenali sebagai antara parti politik yang paling kurang terpalit rasuah, serta telah membuktikan keupayaan menjaga keharmonian dan kebajikan rakyat di negeri ditadbirnya.
“Maka, rakyat Malaysia diseru untuk mengenali Pas dengan lebih dekat, berdialog secara terbuka dengan kepimpinannya dan menilai Pas berdasarkan rekod, dasar dan nilai yang dibawa dan bukan melalui persepsi atau propaganda,” katanya. – UTUSAN










