Perdana Menteri daripada Pas bukan lagi mimpi

Perdana Menteri daripada Pas bukan lagi mimpi

HASRAT untuk melihat bakal Perdana Menteri datang daripada Pas semakin kuat disuarakan oleh perwakilan Pemuda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKTAMAR Tahunan Pas Ke-71 yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar tahun ini memperlihatkan hala tuju baharu parti itu dalam arena politik tanah air.

Tumpuan bukan lagi sekadar mempertahankan kubu tradisi, tetapi Pas membawa visi lebih besar iaitu melahirkan seorang Perdana Menteri pertama daripada parti Islam tertua di Malaysia itu.

Ini bermakna, sudah sampai masanya Pas membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap gabungan politik, tetapi mendepani kepimpinan negara dengan membawa politik yang dilaungkan sebagai matang, sejahtera dan berteraskan Islam.

Meskipun Pas kini memegang kunci kestabilan dalam Perikatan Nasional (PN), perjalanan menuju ke kerusi Perdana Menteri tidak semudah dijangka. Soal pembahagian kerusi, calon Perdana Menteri serta hubungan dengan parti komponen akan menjadi ujian sebenar menjelang pilihan raya akan datang.

Pas juga berdepan cabaran besar dalam mengikis persepsi sebagai parti eksklusif. Kepimpinan parti sedar, untuk meraih sokongan nasional, Pas perlu menawarkan agenda politik inklusif kepada semua rakyat termasuk bukan Islam tanpa mengorbankan prinsip Islam.

Keinginan untuk menjadi Perdana Menteri dan dominasi politik perlu diseimbangkan dengan realiti sokongan serta hubungan dalam gabungan, selain persepsi masyarakat terutama bukan pengundi tradisional Pas dan golongan muda.

Bagaimanapun, beberapa pihak berpendapat Pas kini berada di landasan tepat. Sekiranya parti itu berjaya memperluas pengaruh di luar pangkalan tradisi, tidak mustahil sejarah baharu politik Malaysia bakal tercatat iaitu Perdana Menteri pertama daripada Pas.

Tetapi jika Pas ingin menjadi parti utama dalam pemerintahan, mereka perlu menang lebih banyak kerusi dan mempunyai hubungan baik dengan komponen dalam PN, sementara persaingan parti-parti Melayu-Islam lain boleh menjadi cabaran.

Untuk menarik lebih ramai pengundi dari pelbagai latar belakang, penting untuk Pas menampilkan imej yang bukan hanya fokus kepada kelompok tertentu, tetapi juga menjaga hak golongan minoriti serta kepercayaan bahawa prinsip Islam boleh diimbangi dengan keadilan dan demokrasi.

Maka, muktamar kali ini jelas menunjukkan Pas tidak lagi sekadar menunggu peluang, sebaliknya sedang menyusun langkah tersusun untuk mengetuai Putrajaya.

Misi melahirkan Perdana Menteri daripada Pas bukan lagi mimpi politik tetapi cita-cita yang mula mendapat perhatian nasional. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN