Tuan Ibrahim pilihan pertama Pemuda Pas jadi Perdana Menteri

Tuan Ibrahim pilihan pertama Pemuda Pas jadi Perdana Menteri

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) menjadi pilihan pertama Pemuda Pas untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri daripada Pas. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemuda Pas menamakan Timbalan Presiden mereka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pilihan pertama untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri daripada Pas.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga layak dicalonkan berdasarkan pengalaman luasnya.

Namun, kata beliau, Ahli Parlimen Marang itu sudah menyatakan tidak mahu menjadi Perdana Menteri meskipun Pas berpeluang memerintah negara kerana faktor kesihatan.

“Kita juga ada dua orang Naib Presiden Pas (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Idris Ahmad) yang menjadi Ahli Parlimen, Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) pun boleh jadi Ahli Parlimen dan jadi Perdana Menteri.

“Calon-calon ini sudah ada pengalaman mengurus negeri dan negara ketika menjadi menteri, jadi tak salah untuk saya cadangkan mereka sebagai calon Perdana Menteri. Ini cadangan tapi akan diputuskan di peringkat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada pemberita selepas Muktamar Pemuda Pas ke-66, hari ini.

Terdahulu, Pemuda Pas mendesak parti itu untuk mempersiapkan diri memimpin PN serta menampilkan calon Perdana Menteri berasaskan kekuatan politik semasa yang nyata.

Gesaan tersebut dibawakan melalui usul yang dibentangkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar sempena Muktamar Pemuda Pas, siang tadi.

Khairul Nadzir berkata, usul itu bertujuan menegaskan bahawa Pas kini memiliki signifikasi politik nasional yang tidak boleh dinafikan dan layak tampil sebagai peneraju dalam PN.

“Selain pencapaian politik semasa, senioriti Pas sebagai parti tertua iaitu menghampiri 74 tahun pengalaman dalam politik Malaysia sejak 1951, menjadi asas kukuh bahawa parti ini mempunyai legitimasi, kestabilan dan kapasiti pentadbiran untuk memimpin negara.

“Dengan pengalaman mentadbir negeri-negeri utama, kekuatan jentera akar umbi yang mantap serta konsistensi ideologi dan perjuangan Islam, Pas menunjukkan kesediaan bukan sahaja untuk memainkan peranan sebagai rakan kongsi, tetapi sebagai parti teras yang mampu menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa dan berpengalaman,” katanya.

Katanya, usul itu juga sebagai satu inisiatif untuk menegaskan kedudukan Pas, meningkatkan keyakinan akar umbi dan memberi isyarat jelas kepada rakan serta lawan politik bahawa Pas sudah bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, usul dibentangkan Pemuda tidak membawa apa-apa mesej kepada Bersatu yang terlebih dahulu mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

“Semua parti akan cadang pemimpin masing-masing, sebab kerusi Pas banyak jadi kita cadang kitalah yang ketuai dan kalau orang lain kerusi banyak mereka cadang merekalah ketua.

“Jadi itu biasa, siapa-siapa pun dalam pertandingan ini di atas padang yang sama kerusi banyak akan cadang mereka lah ketua, tiada isyarat apa-apa (kepada Bersatu),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN