JITRA: Kepincangan dalam Barisan Nasional (BN) akan digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk meningkatkan penguasaan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU) akan datang sekali gus mencapai sasaran 80 kerusi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdapat beberapa pemimpin dalam UMNO yang boleh dilihat secara jelas tidak selesa dengan kerajaan sedia ada.
“Mereka sangat tidak selesa dengan tindakan agresif DAP khususnya dan mereka kadang-kadang zahirkan secara terang-terangan termasuk daripada komponen BN yang lain iaitu MIC dan MCA.
“Kita boleh tengok di Dewan Rakyat macam mana Ahli Parlimen MCA bangun buat kenyataan menentang apa yang disebut oleh DAP, hingga mereka rasakan MCA dan MIC bukan bersama kerajaan.
“MCA dan MIC menganggap gagasan ini hanya UMNO dengan Pakatan Harapan (PH), jadi berdasarkan potensi yang ada ini tidak mustahil kita boleh mencapai hasrat menang 80 kerusi,” katanya ketika ditemui pada Forum Ummah Muslim Antarabangsa (Munif) semalam.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang menyatakan parti itu yakin untuk meraih kemenangan sehingga 80 kerusi Parlimen dalam PRU16 berdasarkan kekecewaan pengundi dengan prestasi parti yang memerintah ketika ini.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, sasaran itu bukan hanya melibatkan Pas tetapi keseluruhan di bawah PN yang turut dianggotai Bersatu dan Gerakan.
Sementara itu, mengulas dakwaan demokrasi dalam Pas sudah tidak subur rentetan tiada pertandingan jawatan di peringkat tertinggi, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana Pas mengamalkan konsep pembahagian tugas untuk melancarkan parti.
“Demokrasi bukan bermakna lawan tetapi kesepakatan. Saya tengok contoh walaupun ada antara AJK Pas Pusat ini dapat pencalonan agak tinggi, tapi dia ada fokus lain. Contoh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dia Menteri Besar dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.
“Jadi dia melihat bahawa ada keperluan untuk kita agihkan tugas, bukan untuk berebut jawatan. Sekurang-kurangnya kita tiada isu dalaman kerana bila tiada isu pemilihan kita boleh fokus gerak kerja perkukuhkan PN,” katanya. -UTUSAN










