KOTA BHARU: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11 disifatkan sebagai langkah ‘songsang’ yang bakal menjerat kedudukan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan itu menggambarkan seolah-olah Bersatu tidak lagi mempunyai tokoh pelapis yang mampu diangkat bagi mengetuai perjuangan parti berkenaan serta blok pembangkang.
“Apabila Bersatu menamakan semula Muhyiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri kelapan sebagai calon Perdana Menteri Ke-11, jelas menunjukkan kepemimpinan mereka kian ketandusan idea baharu.
“Bagi rakyat, perkara ini hanya membuka ruang untuk menilai kelemahan Bersatu yang gagal menampilkan barisan pelapis lebih segar dan diyakini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Noor Hariri berkata, tindakan itu juga boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan parti gabungan yang bersama Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN).
Katanya, pengumuman tersebut tidak hanya menutup peluang tokoh lain, malah boleh menjejaskan keyakinan pengundi muda yang mahukan kepimpinan lebih progresif.
“Bersatu harus sedar, politik masa kini tidak boleh berlegar pada wajah lama semata-mata.
“Jika strategi sebegini diteruskan, mereka bukan sahaja menjerat diri sendiri, malah boleh merugikan PN secara keseluruhannya menjelang PRU16,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAT Bersatu kali ke-9 turut menyokong sepenuhnya kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Presiden Bersatu. – UTUSAN










