UM diminta beri penjelasan isu pelajar cemerlang ditolak

UM diminta beri penjelasan isu pelajar cemerlang ditolak

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) diminta memberi penjelasan berhubung kegagalan seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Edward Wong untuk melanjutkan pengajian di universiti itu walaupun memperoleh keputusan PNGK 4.0.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, UM akan menjelaskan asas keputusan yang dibuat berhubung perkara tersebut selepas isu itu dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong semalam.

“Isu yang dibangkitkan berkaitan seorang pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat dalam kursus dan universiti pilihannya walaupun telah ditawarkan tempat di universiti lain.

“Memandangkan perkara yang dibangkitkan ini melibatkan pilihan pertama pelajar berkenaan iaitu kursus perakaunan di UM, saya minta pihak UM menjelaskan mengapa beliau tidak ditawarkan tempat di universiti tersebut serta asas kepada keputusan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, dasar kerajaan tidak pernah berkompromi dalam memastikan setiap pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 mendapat peluang melanjutkan pengajian.

Katanya, proses kemasukan pelajar dilaksanakan melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) yang telah digunakan sejak sekian lama, dan bukannya satu sistem baharu.

“Datuk Seri Wee Ka Siong juga sedia maklum mengenai sistem UPU kerana beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan.

“Dalam kes ini, universiti tentu mempunyai sebab tersendiri dan saya minta UM menjelaskannya. Tambahan pula, pelajar ini difahamkan ada menerima tawaran bersyarat (conditional offer) berdasarkan permohonan melalui saluran terbuka,” katanya.

Tambah beliau, penjelasan UM penting bagi mengelakkan salah faham yang boleh menimbulkan persepsi negatif seolah-olah sistem kemasukan pelajar di negara ini bermasalah.

Katanya, kementerian sentiasa komited memastikan anak-anak tempatan mendapat peluang menyambung pengajian, namun isu sering timbul apabila melibatkan kursus dan universiti pilihan utama pelajar.

“Oleh itu, saya telah minta pihak UM tampil memberikan penjelasan secara jelas mengenai perkara ini,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Edward kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem UPU ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan meskipun memperoleh pencapaian akademik tertinggi.

Edward yang berasal dari Pulau Pinang memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.

Namun permohonannya ke enam universiti awam termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan UM ditolak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN