Guna AI untuk tolak rasuah angkat UM juara Debat Antirasuah IPT 2025

Guna AI untuk tolak rasuah angkat UM juara Debat Antirasuah IPT 2025

AI rasuah
AZAM Baki bergambar bersama barisan pemenang Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 dalam majlis penutupannya dekat UKM, di Bangi, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Cadangan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha menangani rasuah mengangkat pasukan pendebat Universiti Malaya (UM) sebagai juara dalam Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2025, malam tadi.

Pasukan UM yang berperanan sebagai pihak kerajaan menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di posisi pembangkang menerusi usul bertajuk ‘Demi menangani kes rasuah, dewan ini akan mengutamakan penggunaan teknologi AI’.

Wakil pasukan UM, Azhad Hafiz Md Razip Han, berkata, kemenangan itu hasil latihan berterusan selama lebih setahun selain semangat pasukan yang tidak pernah luntur walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir tahun lalu.

Katanya, penganjuran debat antirasuah itu memberi peluang kepada mahasiswa menyumbang idea baharu dan bernas dalam membantu SPRM memperkukuh usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.

“Program seperti ini menjadi wadah penting untuk mencari idea-idea baharu yang boleh digunapakai oleh SPRM dalam mempertingkatkan inisiatif membanteras rasuah.

“Pandangan daripada mahasiswa juga penting kerana ia mewakili suara generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

“Untuk memenangi debat ini bukanlah sesuatu yang mudah, jadi kami amat bersyukur dengan kemenangan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan pertandingan yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi.

Kemenangan itu juga membolehkan Azhad bersama barisan pendebat iaitu Muhammad Ammar Akrimi Azman, Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairul dan Nur Amirah Syahirah Khairul Shakir membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil.

Manakala, pasukan UPNM selaku naib juara menerima wang tunai RM8,000, trofi dan sijil, namun pendebatnya dipilih sebagai pendebat terbaik keseluruhan.

Pertandingan yang bertemakan “Idealis Berintegriti, Pemacu Negara Madani” itu mendapat kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program yang diadakan di UKM tersebut bermula 10 Oktober lalu membabitkan penyertaan sebanyak 40 pasukan dengan 160 peserta dan dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN