PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
Ia sekali gus menjadi pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan negara serta keteguhan ASEAN.
Menerusi perbualan telefon bersama Trump, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif memastikan keamanan serantau khususnya melibatkan isu Kemboja–Thailand.
“Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau (Trump) atas peranan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai.
“Perbualan telefon ini berlangsung ketika saya menerima kunjungan hormat daripada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer yang kini berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, Malaysia menantikan kehadiran Presiden Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan yang dijangka menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau. – UTUSAN











