TikTok Shop suntik dana RM20 juta perkasa PMKS - Utusan Malaysia

TikTok Shop suntik dana RM20 juta perkasa PMKS

FUZIAH Salleh (kanan) bersama Nur Azre Abdul Aziz (kiri) selepas pelancaran Stimulus Package RM20 Juta untuk Memperkasa Ribuan PMKS #JomLokal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TikTok Shop, platform e-dagang Malaysia menyuntik dana tambahan bernilai RM20 juta ke dalam ekonomi digital tempatan melalui #JomLokal Booster Stimulus Package bagi meningkatkan sokongan terhadap Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) serta produk keluaran tempatan.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, sejak 2023 sumber dan pendedahan khusus disalurkan kepada ribuan PMKS Malaysia melalui inisiatif #JomLokal telah mendorong pertumbuhan mampan produk buatan tempatan. 

“Inisiatif terbaharu ini memperkukuh komitmen mengekalkan ekosistem e-dagang yang inklusif, dengan melabur semula ke dalam ekonomi digital Malaysia serta komuniti tempatan kami,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Timbalan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, visi Malaysia untuk menjadi negara berteraskan digital bergantung pada kesiapsiagaan usahawan tempatan untuk menerima inovasi. 

Menurutnya, Inisiatif #JomLokal membuktikan bagaimana pemain industri dapat membantu meringankan kos operasi PMKS untuk turut serta dalam ekonomi digital. 

“Kempen #JomLokal bukan sekadar platform untuk menjual produk tempatan, malah menjadi saluran untuk kita membina ekosistem digital yang mampan. Ekosistem ini bukan sahaja menjana manfaat ekonomi namun memupuk sebuah masyarakat yang lebih inklusif, patriotik dan berdaya saing.

“Saya yakin dengan usaha berterusan, kita mampu meletakkan Malaysia sebagai negara contoh yang berjaya menyatukan teknologi, keusahawanan dan identiti kebangsaan dalam satu kerangka yang unik,” katanya. 

Setiap penjual yang layak akan menerima pengecualian yuran komisen bernilai RM1,000 sehingga 120 hari serta Baucar Promosi Iklan bernilai RM50 yang ditanggung oleh platform. 

Pengecualian yuran komisen ini memberi sokongan tambahan khusus kepada PMKS di bawah inisiatif #JomLokal berbeza daripada Program Faedah Penjual Baharu TikTok Shop yang terbuka kepada semua penjual baharu di platform. 

Selain itu, inisiatif ini turut menaja iklan sepanduk melalui aplikasi TikTok bagi mempromosikan produk buatan Malaysia, sekali gus meningkatkan pendedahan trafik PMKS tempatan sejajar dengan trend peningkatan fungsi carian TikTok Shop dalam kalangan pengguna negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×