Tikam diri sendiri, reka cerita disamun kerana salah guna wang syarikat

Tikam diri sendiri, reka cerita disamun kerana salah guna wang syarikat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pemandu lori makanan beku dipercayai sanggup menikam dirinya sendiri dan membuat cerita palsu kononnya telah disamun oleh tiga lelaki warga tempatan di Jalan Minden 1, Gelugor di sini, semalam.

Selain disamun, lelaki tersebut juga mendakwa bahawa dia telah ditikam di bahagian perut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.45 malam itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa telah memaklumkan mengenai kejadian terbabit kepada majikannya setelah ditanya mengapa lewat untuk kembali ke pejabat.

“Majikan itu seterusnya menghantar seorang pekerja lain untuk mencari mangsa di tempat kejadian sebelum dia dijumpai cedera dalam sebuah lori dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Pisau yang digunakan untuk menikam mangsa pula adalah berukuran 22.5 sentimeter (cm) panjang dan kedalaman luka di bahagian perut mangsa adalah lebih kurang 3.5cm,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, siasatan lanjut polis bagaimanapun mendapati bahawa mangsa sebenarnya bukan disamun dan ditikam.

“Cerita sebenarnya ialah mangsa telah berbelanja kutipan hasil jualan produk syarikat sebanyak RM3,000 dan mereka cerita mengenai kejadian samun palsu ini untuk menipu majikan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Abdul Rozak memberi peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang laporan palsu atau memberi maklumat palsu dalam siasatan polis.

Katanya, mereka yang berbuat demikian dianggap sebagai telah melakukan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN