BUTTERWORTH : Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 12 pertuduhan membabitkan penyalahgunaan wang milik sebuah syarikat berjumlah RM405,121, kira-kira 10 tahun yang lalu.
Tertuduh, Mohd Noor Yacub, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM405,121 milik Amar Iman Development Sdn. Bhd. dengan cara memasukkan 12 cek ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.
Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Plaza MWE di Lebuh Farquhar, dalam Daerah Timur Laut dalam tempoh 19 Januari hingga 21 Oktober 2015.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara antara tempoh enam bulan hingga lima tahun, disebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee memohon agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Amirrul Adli yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum diberi memandangkan anak guamnya itu tidak mempunyai pendapatan tetap dan masih perlu menanggung isteri selain kini bergantung kepada bantuan kewangan anak-anak.
“Tertuduh juga menghidap kencing manis selain baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata dan perlu menerima rawatan susulan di hospital,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri kepada ibu pejabat SPRM Pulau Pinang sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Kes akan disebut semula pada 19 November depan.
Isnin lalu, suspek yang juga seorang pesara tentera ditahan oleh SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah lebih RM405,000 membabitkan penjualan lima unit pangsapuri milik Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di negeri ini.
Suspek yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan PVATM didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan menjual aset PVATM pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.-UTUSAN










