BUTTERWORTH : Seorang bekas pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahguna wang milik sebuah syarikat berjumlah RM96,780, sepuluh tahun yang lalu.
Tertuduh, Kamaruzzaman Kamaludeen, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh selaku pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn Bhd telah dengan curang menyalah guna harta berjumlah RM5,600; RM920; RM8,800 dan RM81,460 milik Syarikat Natureceuticals Sdn. Bhd.
Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 5 Disember 2014 sehingga 27 Mei 2015 di empat lokasi berbeza iaitu di RHB Bank Bhd, Taman Inderawasih, Perai; Malayan Bank Bhd, Pusat Perniagaan Rozhan, Alma; AmBank (M) Bhd, Pusat Bandar Seberang Jaya dan Public Bank Bhd, Jalan Jelutong.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rasyidah Murni Adzmi serta Natrah Fareha Rahmat yang memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam, Luqman Mazlan dan Irzan Iswatt yang mewakili Kamaruzzaman bagaimanapun merayu jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh menghidap penyakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis selain perlu menanggung isteri, dua anak serta ibunya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 untuk keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Hakim Zulhazmi kemudiannya menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN










