PETALING JAYA: “Tak mustahil misi kemanusiaan Global Sumud Flotilia (GSF) berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza buat pertama kalinya dengan perlindungan keselamatan armada ketenteraan Itali, Sepanyol dan United Kingdom (UK).”
Demikian kongsi Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli yang mengakui buat masa ini pelayaran GSF sudah pun disertai armada Tentera Laut Itali yang banyak membantu dalam koordinasi perjalanan mereka sejak kelmarin.
Katanya, Itali memutuskan untuk menghantar armada lautnya bagi melindungi pelayaran GSF susulan serangan dron bertali arus oleh rejim Zionis terhadap peserta flotilla kelmarin.
“Kalau kita lihat perkembangan semalam, Tentera Laut Itali telah menghantar kapal-kapal armada mereka yang berada di sekitar Greece untuk melindungi perjalanan GSF.
“Pada masa sama, kita difahamkan UK dan Sepanyol juga akan menghantar armada laut mereka untuk melindungi rakyat mereka yang berada dalam misi kemanusiaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
GSF yang membawa 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia kini sedang belayar merentasi Laut Mediterranean untuk membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Muhd. Haikal Luqman yang juga salah seorang dari 34 rakyat Malaysia dalam misi GSF berkata, walaupun terdapat kehadiran armada laut dari Itali, UK dan Sepanyol namun keselamatan peserta GSF masih belum 100 peratus terjamin.
Katanya, ia disebabkan sekiranya berlaku sebarang provokasi agresif daripada rejim Zionis, kapal-kapal tentera dari negara-negara Eropah tersebut masih tidak boleh berbuat apa-apa.
Katanya, setakat ini, armada laut yang dihantar oleh negara Eropah tersebut hanya melindungi pelayaran GSF sehingga perairan antarabangsa sahaja.
“Kita perlu faham bahawa jika berlaku sebarang konfrontasi ketenteraan di tengah lautan antara negara-negara ini dengan Israel akan membawa kesan lebih buruk termasuk peperangan. Kemungkinan ini pasti akan dielakkan oleh negara Eropah.
“Mereka menghantar armada ini sebagai tanda menyokong dan melindungi rakyat mereka dan kita faham bahawa langkah diambil mereka adalah bersifat politik untuk menjaga sentimen dan sokongan rakyat masing-masing.
“Bagaimanapun kita bersyukur mereka berani mengambil pendekatan begini sebagai satu bentuk tekanan kepada Israel,” katanya.-UTUSAN