Suri rumah rugi RM301,000 ditipu `pegawai polis’

Suri rumah rugi RM301,000 ditipu `pegawai polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang suri rumah sanggup mengeluarkan simpanan Tabung Haji, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) termasuk menggadaikan barang-barang kemas miliknya kerana takut ditangkap seorang lelaki mendakwa `pegawai polis.’

Ketakutan itu timbul selepas wanita berusia 59 tahun itu dihubungi seorang lelaki yang memperkenal diri sebagai “pegawai polis” dan mendakwa dia disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan akan ditangkap dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, selepas merasakan dirinya tertipu, wanita berkenaan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat petang semalam.

Katanya, menurut laporan mangsa, dia mula dihubungi `pegawai polis’ berkenaan pada 14 Mei lalu dan meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank dan membuat pindahan wang ke nombor akaun diberikan kononnya untuk siasatan pihak bank negara.

“Akibat takut dan tanpa usul periksa, mangsa telah memasukkan sejumlah RM301,000 ke dalam 17 akaun bank berbeza bermula 20 Mei hingga yang terakhir 25 September lalu secara berperingkat.

“Mangsa hanya merasakan dia ditipu apabila diminta untuk membuat tambahan bayaran sebelum menghentikan sebarang pindahan wang dan membuat laporan polis,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati apabila menerima panggilan telefon dari sebarang nombor tidak dikenali dengan menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN