JERANTUT: Seorang suri rumah dari Kampung Bukit Dinding, Nurul Husna Abd Hamid, 36, merayu bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan suami, Mohamad Basri Ibrahim, 49, yang kini kritikal akibat pendarahan dalam otak di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital FV, Ho Chi Minh, Vietnam. Kos rawatan dan pengangkutan pulang dianggarkan mencecah RM100,000.
Menurut Nurul Husna, suaminya, seorang kakitangan Jabatan Veterinar, diserang penyakit itu ketika melancong bersama 25 ahli keluarga pada 15 September lalu.
“Saya tidak ikut rombongan kerana hamil enam bulan. Perkhabaran keadaan suami diterima melalui ahli keluarga. Dia mula mengadu sakit kepala, diikuti muntah-muntah dan sukar bernafas di Hotel Ruby Saigon pada 17 September,” katanya.
Suaminya terus dihantar ke hospital berdekatan dan doktor mengesahkan mengalami pendarahan dalam otak.
“Rawatan dan pembedahan melibatkan kira-kira lebih RM100,000 termasuk kos membawa pulang ke tanah air. Saya cuma suri rumah, manakala ahli keluarga lain berpendapatan rendah, jadi kami memerlukan bantuan segera,” katanya.
Perkara sama turut disahkan sepupunya, Azira Dzulkifli, 44, yang memaklumkan keluarga memerlukan sokongan kewangan segera untuk menampung rawatan dan pembedahan.
Pada hari kejadian, Mohamad Basri dikejarkan ke hospital dengan ambulans dan kos awal RM500 (3,140,000 VND). Bayaran awal RM16,000 (100,472,000 VND) diperlukan sebelum rawatan diteruskan, manakala pembedahan External Ventricular Drainage menelan RM10,000 (62,795,209 VND).
“Hospital meminta bayaran tambahan RM90,000 (564,771,040 VND), namun kami hanya mampu melunaskan RM10,000 sebagai deposit. Walaupun pembedahan berjaya, sepupu saya masih dipantau di ICU dengan kos keseluruhan dianggarkan RM90,000,” kata Azira.
Ahli keluarga dijangka berangkat ke Ho Chi Minh pada Ahad ini untuk menziarahi Mohamad Basri. Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Husna di 011-13222403 atau menyumbang terus ke akaun Bank Islam nombor 12038023166371 (Nurul Husna Abd. Hamid). – UTUSAN










