PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad menerusi anak syarikat 60 peratus miliknya, M Industrial Development Sdn. Bhd. mencadangkan pengambilalihan kira-kira 169.63 hektar tanah pegangan bebas di Mukim Senai, Kulai, Johor pada harga RM273.87 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, pengambilalihan tersebut bagi membangunkan sebuah taman perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM2.26 bilion.
Katanya, tanah berkeluasan 1.7 juta meter persegi itu akan diperoleh daripada Aura Muhibah Sdn. Bhd. pada harga RM15 sekaki persegi dan bayaran akan dibuat sepenuhnya secara tunai.
“Pembangunan tersebut akan dilaksanakan secara usaha sama oleh Nova Legend dan KLK Land menerusi M Industrial dan bakal dikenali sebagai MS Industrial Park @ Kulai.
“Cadangan pengambilalihan tanah ini merupakan langkah strategik bagi kumpulan, selaras dengan kehadiran kukuh yang telah lama bertapak di Johor iaitu kumpulan telah berjaya membangunkan pelbagai projek perbandaran dan pembangunan perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah kira-kira RM4.47 bilion setakat 31 Mac 2026.
“Pembangunan kediaman yang sedang dijalankan oleh kumpulan di Johor merangkumi hartanah bertingkat tinggi dan kediaman bertanah. Anggaran GDV bagi pembangunan yang sedang dilaksanakan di Johor adalah kira-kira RM11.62 bilion setakat 31 Mac 2026, termasuk projek yang akan dilancarkan,” katanya.
Tambahnya, selepas selesai cadangan pengambilalihan tanah ini dan pengambilalihan yang disebutkan sebelum ini, keseluruhan bank tanah kumpulan akan meningkat kepada kira-kira 1,085.57 hektar.
“Johor kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama bagi kumpulan, disokong oleh kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura, jaringan perhubungan serantau yang kukuh.
“Selain itu, ia juga disokong oleh inisiatif kerajaan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link), yang secara kolektif meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan serantau,” jelasnya.
Kumpulan berkata, pengambilalihan tanah berkenaan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli (SPA) serta perjanjian berkaitan yang telah dipinda.
“Sekiranya tiada keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan tanah yang dicadangkan dijangka siap pada suku keempat 2026, manakala taman perindustrian tersebut dijangka siap dalam enam hingga lapan tahun akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










