Zelensky gesa negara sekutu hantar sistem pertahanan udara - Utusan Malaysia

Zelensky gesa negara sekutu hantar sistem pertahanan udara

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijangka menggunakan sidang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turkiye yang bermula semalam untuk menggesa sekutunya mem­percepat penghantaran sistem pertahanan udara yang diperlukan bagi menghadapi peningkatan serangan Russia.

Desakan itu dibuat selepas Kyiv menjadi sasaran serangan peluru berpandu Russia sebanyak dua kali dalam tempoh kurang seminggu, mengorbankan lebih 50 orang awam dan memusnahkan beberapa bangunan kediaman.

Sidang di Ankara turut menjadi peluang kepada Zelensky mengadakan pertemuan pen­ting dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan menegaskan serangan kejam Russia adalah sebagai tanda kelemahan bukan kekuatan.

Beliau juga mahu Presiden Russia, Vladimir Putin, ditekan supaya kembali ke meja rundi­ngan untuk mencapai keama­nan yang bermaruah.

Serangan terbaharu ke atas Ukraine berlaku ketika Kyiv meningkatkan serangan dron jarak jauhnya terhadap Russia dengan menyasarkan kilang penapisan minyak dan kemudahan ketenteraan di negara itu sehingga menyebabkan gangguan bahan api serta elektrik.

Menjelang pertemuan NATO, Zelensky menyatakan harapan agar pertemuan di Turkiye itu tidak menjadi sia-sia.

Beliau turut menggesa sekutu Eropah menyerahkan simpanan peluru berpandu Patriot mereka dengan alasan sistem berkenaan tidak berguna jika hanya disimpan ketika orang awam di Ukraine terbunuh.

“Russia mempertaruhkan penggunaan senjata balistik dan mereka yang mahukan keamanan perlu mempertaruhkan usaha melindungi diri daripada serangan balistik,” kata Zelensky, ketika mengemukakan hujahnya menjelang pertemuan di Ankara.

Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte turut menggesa negara anggota supaya memikul tanggungjawab masing-masing dan memastikan Ukraine memperoleh bantuan diperlukan untuk mempertahankan kedaulatannya.

Beliau menegaskan, Kyiv sedang mengubah dinamik di medan perang, merujuk usaha Ukraine memperlahankan kemaraan tentera darat Russia di bahagian timur negara itu.

Perkara itu turut dikaitkan dengan serangan dron terbaharu yang dilancarkan Ukraine, yang dilihat memberikan kele­bihan tertentu kepada Kyiv. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN