Sudah 30 tahun tunggu, rumah kedai tidak siap

‘Sudah 30 tahun tunggu, rumah kedai tidak siap’

SEKUMPULAN peneroka bersama ahli keluarga menyuarakan kekecewaan terhadap pemaju kerana unit rumah kedai dijanjikan selepas bersetuju menjual tanah ladang sawit di Senai, Kulai sejak 30 tahun lalu masih belum diterima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sekumpulan peneroka meluahkan kekecewaan setelah 54 unit rumah kedai yang dijanjikan kepada mereka setelah bersetuju menjual tanah ladang sawit di Kampung Pemuda Jaya, Senai, di sini pada 30 tahun lalu masih belum diperoleh.

Salah seorang peneroka terlibat, Ismail Ibrahim, 74, berkata, urusan penjualan hartanah ladang kelapa sawit seluas 158 hektar itu dibuat bertujuan membangunkan projek perumahan Taman Impian Jaya di Seelong, Senai di sini pada 1995.

Katanya, berdasarkan perjanjian asal, pemaju akan menyediakan 54 unit rumah kedai dua tingkat kepada peneroka Rancangan Tanah kawasan itu yang terlibat dengan urusan penjualan hartanah pada ketika itu.

“Sebanyak 54 unit rumah kedai itu bagi menggantikan hartanah yang dijual sekaligus membolehkan peneroka mempunyai kediaman dan juga aset untuk menampung kehidupan selepas ketiadaan tanah ladang sawit.

“Kos pembinaan seunit yang berkeluasan 20 x 70 kaki persegi itu adalah RM180,000, dengan keseluruhannya bernilai RM9.7 juta dan semuanya sudah dilangsaikan peneroka terlibat.

“Namun sehingga kini unit yang dijanjikan masih belum diperoleh, sedangkan hanya 23 peneroka asal yang masih hidup daripada keseluruhan 54 peneroka, kami juga sudah semakin berusia,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya difahamkan projek yang mula dilaksanakan pada Mac 1995 itu telah tergendala dengan tahap kemajuan hanya mencapai kira-kira 15 hingga 20 peratus sahaja.

Seorang lagi peneroka, Md Rozali Abd. Naim, 76, pula memberitahu, peneroka terlibat turut menjadi mangsa ‘janji pilihan raya’ apabila ada pihak yang berjanji akan bantu selesaikan masalah sebelum menghilangkan diri.

“Semasa Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, iaitu pada tahun 2008, ada pihak berjanji mahu membantu kami dengan mengatakan pemaju akan menukar 54 unit rumah kedai kepada 54 unit rumah kedai. Kami semua bersetuju namun selepas pilihan raya, pihak itu hilangkan diri.

“Kami juga pernah gunakan khidmat peguam, namun kes ini tiada penyelesaian sehingga peguam terbabit juga sudah meninggal dunia dan pejabatnya ditutup,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Salimin Sabari, 74, pula memberitahu pihaknya berharap kerajaan negeri dan juga persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalahnya mereka yang telah berlarutan sejak 30 tahun lalu.

“Kami amat kecewa, tiada pembelaan yang kami terima atas perkara ini. Sehubungan itu kami berharap pihak berkuasa dapat bantu selesaikan masalah ini untuk manfaat ahli keluarga kami khususnya generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN