Rumah kedai gamit nostalgia

Rumah kedai gamit nostalgia

HULU TERENGGANU, 03 Julai 2025 - MAIMUN Hasan (tengah) melayan pelanggan ke premis perniagaannya yang diusahakan sejak 1970-an di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu. UTUSAN/ NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Rumah kedai milik pasangan suami isteri warga emas di Kampung Tanjung Baru, di sini yang diusahakan sejak tahun 70an, menjadi tumpuan dek suasananya menggamit nostalgia.

Maimun Hasan, 68, dan Abdullah Husin, 75, tidak menyangka premis perniagaan kedai runcit dan kedai kopi yang cuma beroperasi di bahagian bawah rumah itu didatangi pelanggan dari luar daerah setelah tular di media sosial beberapa hari lalu.

Selain menjual pelbagai barangan runcit, turut disediakan juadah sarapan pagi seperti nasi minyak, nasi lemak dan aneka kuih tradisi seperti kayu keramat.

“Dahulu, hasil jualan digunakan untuk menanggung enam anak, tetapi kini sekadar suka-suka, lagipun sayang rasanya hendak tinggalkan kedai yang sudah lama diusahakan.

“Tiap hari seawal pukul 5 pagi kami mula memasak sarapan untuk dijual, buat sikit-sikit sahaja. Misalnya nasi minyak sekitar dua hingga empat kilogram (kg) beras sehari dan dijual RM3 sebungkus,” katanya ketika ditemui di premisnya semalam.

Menurut Maimun, pelanggannya sebelum ini terdiri daripada penduduk setempat dan komuniti kampung sekitar namun sejak beberapa hari lalu mula dikunjungi orang ramai dari pelbagai daerah.

“Saya tidak sangka kedai ini boleh jadi tumpuan, lagipun terletak dalam kampung. Premis pun biasa sahaja, mungkin kerana suasana macam dulu-dulu jadi tarikan,” katanya.

Seorang pelanggan, Aini Mohd. Zain, 52, dari Marang berkata, kedai berkenaan menggamit memori sekali gus merasai semula suasana ketika zaman kecilnya.

Suasana kedai di bawah rumah dengan pembinaan papan seumpama itu sukar ditemukan memandangkan zaman sudah berubah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN