Skim khidmat kesihatan negara perlu model baharu

Skim khidmat kesihatan negara perlu model baharu

R THIRUNAVUKARASU (hujung kiri) ketika forum Sidang Kemuncak Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skim pembiayaan kesihatan lebih baik untuk rakyat gagal dilaksanakan kerajaan kerana idea dikemukakan banyak berdasarkan ‘analisis desktop’ yang tidak membabitkan libat urus de­ngan para pemegang taruh dalam perkhid­matan itu.

Keadaan itu menyebabkan pembaharuan yang cuba dibawa sejak 40 tahun lalu tidak dapat dilakukan dan kerajaan terpaksa menggunakan mekanisme lama yang sedia ada.

Sebab itulah kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu, caj jumpa doktor di hospital awam masih kekal RM1, manakala penambahbaikan dalam penggunaan insurans kesihatan hanya untungkan pihak konsultan.

Menurutnya, kegagalan itu berpunca daripada peranan Kementerian Kesihatan yang terlalu besar, isu kepercayaan rakyat dan ketiadaan keberanian politik.

“Kementerian pegang terlalu banyak peranan iaitu sebagai pengawal selia, penyedia perkhidmatan dan pembeli strategik yang sekali gus tidak dapat bertindak secara bebas,” katanya pada forum

Sidang Kemuncak Kesihatan dan Ke­sejahteraan Malaysia 2025 yang mengupas isu Merevolusikan Pembiayaan Penjagaan Kesihatan: Modal Swasta, Insurans dan Reformasi Kerajaan di sini semalam.

Tiada keazaman politik dan ruang fiskal terhad turut menjadi antara punca kelewatan skim pembiayaan kesihatan baharu.

“Kegagalan meningkatkan caj rawatan asas di hospital kerajaan sejak zaman Barisan Nasional (BN) membuktikan isu tersebut sudah berlarutan.

“Bayangkan, caj jumpa doktor hanya RM1 dan doktor pakar RM5, sedangkan bayaran letak kereta lebih tinggi. Jika pada masa itu pun gagal diubah, sukar untuk dilaksanakannya dalam keadaan politik sekarang. Soalnya Perdana Menteri mana berani buat keputusan betul walaupun tidak popular?,” katanya.

Sejak 1980, pelbagai model termasuk insurans sosial dan simpanan perubatan dikaji namun ia berakhir atas kertas.

“Yang untung perunding. Bayangkan kadar caj doktor am (GP) masih kekal sama selama 33 tahun, walaupun ia tidak melibatkan sebarang dana berasaskan cukai. Jadi saya tidak hairan mengapa skim baharu ini tidak bergerak,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Thirunavukarasu mengakui kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai isu melalui Kertas Putih Kesihatan yang merangkumi aspek perkhidmatan, pencegahan, pembiayaan dan tadbir urus serta diluluskan secara dwipartisan di Parlimen.

Tetapi apa yang lebih pen­ting pelaksanaan sebenar de­ngan ketelusan, tadbir urus baik dan keberanian politik untuk mengutamakan kepen­tingan rakyat melebihi kitaran politik,” katanya.

Kerajaan dakwanya mengabaikan amaran awal berhubung pengendali pihak ketiga (TPA) dan syarikat insurans yang dibangkitkan sejak tahun 1998 sehingga menyebabkan isu itu terus berlarutan tanpa penyelesaian hingga kini.

“Perkara itu pernah ditegaskan menerusi penerbitan buku Health For All oleh MMA namun kerajaan tidak mengambil langkah tegas walaupun ketika itu mempunyai kekuatan politik yang kukuh.

“Tetapi hingga kini tiada tindakan konkrit diambil. Pada 2006, ada peruntukan undang-undang dimasukkan, tetapi pe­luang itu terlepas begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN