MMA gesa mansuh sistem kontrak, lantik doktor secara tetap

MMA gesa mansuh sistem kontrak, lantik doktor secara tetap

DR. KALWINDER SINGH KHAIRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan agar memansuhkan sistem kontrak bagi doktor baharu dan mengembalikan dasar pelantikan tetap bagi menjamin masa depan profesion perubatan di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, sistem kontrak yang diperkenalkan lebih sedekad lalu sudah tidak relevan memandangkan jumlah graduan perubatan kini menurun secara drastik berbanding dahulu.

Menurut beliau, pelantikan secara tetap mampu memberikan jaminan kerjaya serta menghapuskan ketidaktentuan akibat struktur kontrak sedia ada yang membebankan iaitu 3+2+2+4 tahun.

“Langkah ini juga akan menggalakkan pelajar dan ibu bapa untuk kembali melihat bidang perubatan sebagai satu kerjaya yang mempunyai masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia

Dalam pada itu, MMA menggesa Kementerian Kesihatan menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas dan terbuka kepada doktor muda untuk melanjutkan pengkhususan serta berkembang dalam sistem kesihatan awam.

Katanya, selepas KKM diiktiraf sebagai penyedia latihan di bawah pindaan Akta Perubatan, KKM perlu memainkan peranan utama dalam melatih doktor di seluruh hospital kerajaan.

“Ini membolehkan doktor kekal dan menjalani latihan di tempat mereka ditugaskan tanpa perlu risau soal pertukaran atau penempatan semula. 

“Ia juga akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara. Kekurangan pakar kini berada di tahap serius dan hanya dapat diatasi jika peluang latihan ditambah dan dipermudahkan,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr. Kalwinder turut mencadangkan supaya dasar sedia ada dipinda bagi membolehkan bayaran balik kos perjalanan dan penghantaran barang dibenarkan untuk doktor yang bertukar negeri terutama dari jawatan kontrak ke tetap antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak.

“Beban kos berpindah bersama keluarga ke kawasan pedalaman menjadi salah satu faktor doktor menolak pertukaran atau meletakkan jawatan,” katanya.

Mengulas laporan tular berhubung usaha pengambilan pegawai perubatan Malaysia oleh pihak Singapura menerusi satu sesi temu duga di Kuala Lumpur, beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu memandangkan kesannya terhadap sistem kesihatan awam negara semakin ketara.

“Walaupun Singapura telah lama merekrut tenaga kerja kesihatan dari Malaysia, usaha mereka kini dilihat semakin agresif dipercayai berpunca daripada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di negara itu.

“Kita sudah pun berdepan kekurangan kritikal tenaga kerja kesihatan di banyak fasiliti awam, terutama di Sarawak dan Sabah yang turut mencetuskan gesaan agar diberikan lebih kuasa autonomi kepada negeri-negeri ini untuk mengisi kekosongan Pegawai Perubatan dan Pakar,” katanya.

Justeru, kerajaan perlu segera melaksanakan strategi berkesan bagi mengekalkan doktor dalam sektor awam dan menjadikan perkara itu sebagai keutamaan nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN