Siti Nurhaliza, Aliff Syukri antara penyumbang zakat tertinggi Selangor - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza, Aliff Syukri antara penyumbang zakat tertinggi Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tersenarai antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Tidak ketinggalan, usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, turut mengakui dirinya tidak pernah culas melaksanakan kewajipan berzakat sejak mula menguruskan syarikat sendiri, bahkan sebelum mendirikan rumah tangga.

“Setiap kali tiba tempoh, saya pastikan zakat dilunaskan. Islam sudah menjelaskan zakat itu menyucikan harta, melancarkan perniagaan dan menambah rezeki. Dari sebelum kahwin sehingga sekarang, itu memang tanggungjawab saya,” katanya.

Anak sulung Aliff, Ammar Ahyan, yang hadir mewakili bapanya pada majlis Hi-Tea bersama Raja Muda Se­langor, Tengku Amir Shah Sultan Saharafuddin Idris Shah anjuran LZS dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), turut berkongsi perasaan bangganya.

“Saya sangat bangga dengan papa. Insya-Allah tahun depan saya pula akan mula bayar zakat. Zakat ini salah satu tiang Islam, dan sudah tentu kita semua ingin menghulurkan bantuan kepada orang yang lebih memerlukan,” katanya.

Sumbangan itu dilakukan menerusi syarikat, D’Herbs Holdings Sdn Bhd, sekali gus menempatkan bapanya itu sebaris dengan syarikat ternama lain termasuk XpertsCo Sdn Bhd, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd dan Public Islamic Bank Berhad.

Majlis yang berlangsung di Shah Alam pada Rabu itu menghimpunkan syarikat-syarikat penyumbang utama zakat sekali gus meraikan usaha mereka dalam membantu masyarakat yang memerlukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN